I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, November 7, 2011

Zulhijjah: Bulan Penuh Pengorbanan

(mendengar takbir raya dari Surau Manbaul Ilmi sungguh menyayat hatiku...oh~)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Seluruh umat Islam merayakan Hari Raya AidilAdha pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa sunat pada hari ke-9 Zulhijjah. Puasa ini dinamakan puasa hari Arafah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah, di hari Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya. (HR. Ahmad dan An-Nasa'i)


Kelebihan berpuasa pada hari Arafah seperti hadis berikut:

Dan Rasulullah s.a.w. ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka baginda bersabda, "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang." (HR. Muslim)


Berpuasa pada dua hari raya (Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha) dan hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadis berikut:

Rasulullah s.a.w. telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina, "Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari Tasyrik). Ia adalah ahri untuk makan dan minum serta mengingati Allah." (HR. Ahmad, sanadnya hasan)


Pada Hari Raya Aidiladha, umat Islam digalakkan untuk menyembelih binatang korban. Sebahagian ulama mengatakan hukumnya wajib dan sebahagian mengatakan sunat. Menurut Mazhab Imam As-Syafie, hukumnya adalah 'Sunnah Muakkadah' (Sunat yang sangat dituntut melakukannya) iaitu sebagai ibadah tambahan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika baginda masih hidup. Baginda dilaporkan pernah mengorbankan dua ekor biri-biri yang besar untuk dirinya, keluarganya dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau yang tidak mampu untuk bekorban.

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami." (HR. Ahmad dan Ibnu Majah)

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku diperintahkan untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunnah bagi kamu" (HR. At-Tirmizi)


Antara syarat binatang yang hendak dikorbankan itu mestilah tidak cacat seperti pincang, sangat kurus, sakit, terpotong telinganya, terpotong ekornya. Umur yang disarankan adalah:
1. Kambing atau domba yang telah berumur satu tahun lebih atau sudah berganti gigi
2. Kambing biasa yang telah berumur dua tahun lebih
3. Unta yang telah berumur lima tahun lebih
4. Sapi, kerbau atau lembu yang telah berumur dua tahun lebih
5. Sekiranya ternakan betina, pastikan ternakan tersebut tidak bunting semasa dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap dianggap sah, jika selepas disembelih didapati haiwan ternakan itu sedang bunting.

Dari Jabir, beliau berkata, "Kami telah menyembelih korban bersama Rasulullah s.a.w., pada Tahun Hudaibiyah, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang." (HR. Muslim)


Waktu menyembelih korban adalah bermula daripada matahari setinggi tombak, pada Hari Raya Aidiladha sehingga matahari terbenam pada 13 Zulhijjah.

Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa yang menyembelih korban sebelum solat Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri dan barangsiapa menyembelih korban sesudah solat Hari Raya dan dua khutbahnya, sesungguhnya dia menyempurnakan ibadahnya dan telah menepati sunnah atau aturan umat Islam." (HR. Bukhari)


Antara hikmah disebalik pensyariatan ibadah korban adalah untuk mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tiada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang digelar sebagai 'Abu al-Anbiyak' (bapa para nabi) yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah s.w.t., namun begitu Allah telah menggantikannya dengan seekor kibas. Selain daripada itu sebagai mengenang dan mencontohi pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan dirinya bagi mematuhi dan mentaati perintah Allah s.w.t.


Jika dibandingkan dengan pengorbanan Nabi Ibrahim yang terlalu besar ketaatannya pada perintah Allah, terasa diri ini terlalu hina kerana masih belum melakukan apa2 pengorbanan demi menegakkan agama Allah. Adakah kita semua mampu untuk berkorban pada bila-bila masa bila diperlukan untuk menegakkan syiar Islam? Sama-sama kita renungkan....

Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t. dan buruk itu telah disandarkan atas kelemahan diri saya sendiri...wallahualam~

p/s: harap2 sahabat aku ade bawak rendang dari rumah...dapatlah mengubat hati aku yg tgh sedih tak dpt balik makan rendang masakan mak...weh aku dah masak lodeh ni, ko jangan tak bawak plak~

No comments:

Post a Comment